Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyambut baik peruntukan keseluruhan RM130 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi menyokong industri perfileman, muzik, kandungan kreatif dan animasi tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pelbagai inisiatif strategik akan diteruskan dan diperkasakan pada tahun hadapan bagi menjana ekonomi negara serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
"Antara fokus utama termasuk inisiatif filem tempatan, animasi serta filem antarabangsa yang dibawa ke Malaysia.
"Kami juga menyambut baik inisiatif tambahan untuk karya yang menampilkan budaya serta kenegaraan Malaysia yang turut merangkumi peruntukan dana sedia ada," katanya kepada Harian Metro.






