Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menumpukan isu kebajikan murid dan guru selain penyelenggaraan serta pembinaan sekolah baharu menerusi peruntukan hampir RM69 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, antara keutamaan kementerian adalah meneruskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Elaun Sara Hidup Pelajar Tingkatan Enam dan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).
"Aspek kebajikan dan profesionalisme guru turut diberikan perhatian bagi memastikan kesejahteraan warga pendidik terus terpelihara, selaras dengan usaha meningkatkan mutu pendidikan negara.
"KPM komited untuk melaksana dan menterjemahkan peruntukan hampir RM69 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, sekali gus menyokong wawasan Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera," katanya.








