Kuala Lumpur: Pembiayaan mikro berjumlah RM6.6 bilion menerusi Belanjawan 2027 dijangka membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera mendapatkan modal bagi menampung kos operasi serta mengembangkan perniagaan.
Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG), Datuk Seri Dr Azman Yusoff berkata, peruntukan menerusi agensi seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, TEKUN Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dapat memperluas akses pembiayaan kepada usahawan.
Beliau berkata, pengukuhan skim jaminan kredit menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) turut membantu mengurangkan kebergantungan kepada cagaran fizikal, sekali gus memudahkan PMKS Bumiputera mendapatkan pembiayaan bagi menampung perbelanjaan modal dan operasi.









