KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri dari Port Dickson, Negeri Sembilan merayu bantuan orang ramai bagi mengumpul RM180,000 untuk membiayai pembedahan pemindahan hati anak perempuan mereka berusia 10 bulan.

Dian Jasmeen Ahmad Zahid Fahmi, anak kepada pasangan Ahmad Zahid Fahmi Hasnul Elmi, 30, dan isteri, Wan Anis Syahidah Wan Rosli, 30, dijadual menjalani prosedur itu di Hospital Renji, Shanghai, China, awal bulan depan.

Setakat malam tadi, keluarga itu berjaya mengumpul kira-kira RM73,000 dan masih memerlukan RM107,000 bagi menampung kos pembedahan, tiket penerbangan, pengangkutan, makanan serta penginapan sepanjang kira-kira sebulan di negara berkenaan.

Wan Anis Syahidah berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu mengalami masalah fungsi hati yang serius sejak lahir sehingga menyebabkan demam kuning yang dialaminya tidak surut.