Kuala Lumpur: Pemain muda Middlesbrough, Cayden Cole mengakui mempunyai pertalian darah dengan Malaysia sekali gus mencetuskan harapan penyokong tempatan untuk melihat anak bekas penyerang England, Carlton Cole itu menyarung jersi Harimau Malaya suatu hari nanti.
Cayden, yang kini beraksi bersama Middlesbrough selepas meninggalkan Hull City, mendedahkan nenek sebelah ibunya berasal dari Beranang, Selangor, sekali gus membuka peluang buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneliti kelayakannya untuk mewakili skuad kebangsaan.
Perkembangan itu hadir ketika Malaysia terus memberi perhatian kepada pemain warisan yang beraksi di luar negara dalam usaha memperluas pilihan pemain dan memperkukuh skuad kebangsaan dengan bakat yang mempunyai pendedahan bola sepak di Eropah.









