Kuala Lumpur: Penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai menyifatkan pengumuman pengecualian penuh duti hiburan bagi tayangan filem tempatan dan persembahan teater di Wilayah Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 sebagai pemangkin utama dalam meningkatkan daya saing serta ekosistem industri perfileman negara.

Gayatri berkata, inisiatif yang bakal dilaksanakan bermula tahun depan itu adalah satu langkah sangat positif yang memberi kebaikan serta pulangan lebih saksama kepada penggiat seni.

"Saya menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 ini. Ia adalah satu langkah yang berpotensi membantu meningkatkan daya saing karya tempatan dan memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem industri perfileman.

"Saya berharap kerajaan negeri lain turut mengambil langkah yang sama supaya manfaat pengecualian duti hiburan ini dapat dinikmati secara lebih meluas di seluruh negara," katanya.