BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand bercadang menambah peruntukan penalti dalam kontrak pengendalian darat Thai Airways susulan kegagalan perkhidmatan baru-baru ini di Lapangan Terbang Suvarnabhumi yang menjejaskan pelanggan.

Syarikat Thai Airways International Public Company Limited mengalami masalah dalam perkhidmatan pengendalian darat serta pengurusan beban kerja gudang kargo di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dari 26 hingga 30 September lalu.

Lebih 10,000 bagasi terkumpul selepas banjir menghalang kakitangan Thai Airways daripada hadir bekerja, sekali gus menjejaskan operasi pengasingan dan pengendalian bagasi.

Menteri Pengangkutan, Phiphat Ratchakitprakarn, berkata insiden itu menjejaskan reputasi Thailand dan merugikan pelanggan.