PUTRAJAYA: Isu jerebu merentas sempadan akibat kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia kini menjadi krisis tahunan yang semakin parah dan tidak boleh lagi dianggap sebagai masalah domestik semata-mata.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail berkata, impaknya melangkaui sempadan negara, menjejaskan kesihatan awam, melumpuhkan sektor ekonomi, mengganggu pendidikan dan mengancam kelangsungan hidup hidupan liar serta ekosistem serantau.

Katanya, Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) mesti dilaksanakan dengan penguatkuasaan tegas dan segera, kerana kelewatan hanya akan menambah penderitaan berjuta-juta rakyat di Asia Tenggara.

Jelasnya, langkah pertama ialah memastikan penguatkuasaan AATHP benar-benar berfungsi dan Pusat Koordinasi ASEAN (ACC) perlu diaktifkan sepenuhnya untuk memantau titik panas secara masa nyata, manakala tindakan perundangan rentas sempadan mesti digubal bagi menghukum syarikat yang menjadi dalang pembakaran, termasuk syarikat asing.