PUTRAJAYA: Malaysia dan Mesir bersetuju mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Bersama pada suku pertama tahun depan bagi memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam perdagangan, pelaburan dan pengangkutan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata persetujuan itu dicapai bagi memastikan hubungan antara Malaysia dan Mesir dapat diperkasakan menerusi kerjasama lebih menyeluruh dalam pelbagai bidang.

"Kedua-dua menteri luar kita sudah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Bersama pada suku pertama tahun depan.

"Selepas itu, kita akan memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan, pengangkutan serta kekerapan penerbangan antara kedua-dua negara," katanya.