KUALA LUMPUR: Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) berharap pelaksanaan kenaikan Insentif Pos Basik susulan Belanjawan 2027 bagi 47,000 anggota paramedik dan jururawat dapat diperincikan dengan jelas.
Presiden MNU, Noor Aini Abu Hashim, berkata perincian itu termasuk tarikh kuat kuasa, kaedah pembayaran dan kriteria kelayakan penerima supaya manfaat itu dapat disampaikan secara teratur serta telus.
"Kenaikan elaun itu bukan sekadar tambahan pendapatan, malah wajar dilihat sebagai pengiktirafan terhadap usaha jururawat meningkatkan kelayakan profesional, menguasai kemahiran khusus dan memberikan penjagaan yang lebih berkualiti serta selamat kepada pesakit.
"Berdasarkan ketetapan kelayakan sedia ada diterbitkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bayaran Insentif Pos Basik diberikan kepada anggota paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) yang mempunyai kelulusan sijil atau diploma lanjutan dalam bidang penjagaan kritikal dan pengkhususan klinikal diiktiraf, tertakluk kepada syarat ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.








