KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (KHAZANAH) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor menerusi Dana Pelaburan Strategik bernilai RM150 juta bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor dan pembuatan termaju negara.
Menerusi kerjasama itu, KHAZANAH, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor masing-masing akan memperuntukkan RM50 juta sebagai modal permulaan dana berkenaan, sekali gus menyokong pertumbuhan syarikat tempatan yang mempunyai potensi tinggi.
Pengarah Urusan KHAZANAH, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata inisiatif itu sejajar penekanan Belanjawan 2027 terhadap pembangunan sektor strategik, khususnya semikonduktor, inovasi dan pengukuhan keupayaan industri tempatan.









