KUALA LUMPUR: Peruntukan sukan dalam Belanjawan 2027 wajar dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi memastikan pembangunan atlet negara dapat dilaksanakan secara berterusan, bukan sekadar untuk memburu pingat dalam sesuatu temasya.
Pemerhati sukan, Mohamad Amirul Mohd Adnan Ali berkata, kejayaan atlet di pentas antarabangsa memerlukan sistem pembangunan yang tersusun, bermula daripada peringkat akar umbi sehingga ke tahap elit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2027 semalam mengumumkan kerajaan menyediakan RM240 juta bagi persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, selain RM460 juta untuk pembangunan sukan negara.
Peruntukan pembangunan itu meliputi program sukan berprestasi tinggi, Road to Gold (RTG), pembangunan atlet para dan sukan orang pekak serta penyelenggaraan kemudahan sukan.








