KUCHING: Pendedahan kepada kandungan media sosial dan permainan dalam talian berunsur keganasan antara faktor yang boleh mempengaruhi tingkah laku agresif golongan muda sehingga mencetuskan kejadian buli dan serangan di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cabaran dunia maya yang semakin kompleks susulan perkembangan teknologi perlu ditangani dengan membina asas kehidupan yang kukuh supaya golongan muda tidak mudah terpengaruh dengan perkara negatif.

Beliau berkata, platform digital seperti YouTube dan pelbagai permainan dalam talian berpotensi mempengaruhi pemikiran serta tindakan seseorang sekiranya kandungan yang diakses tidak ditangani dengan bijak.

"Apabila berlaku kejadian buli, serangan terhadap rakan atau perbuatan yang lebih serius, kita perlu melihat juga pengaruh persekitaran, termasuk media sosial dan permainan dalam talian yang boleh membentuk cara seseorang berfikir serta bertindak," katanya ketika sesi dialog pada Program Motivasi 'Sedia Menghadapi Masa Depan' Dialog Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Serbaguna Taman Sukma, Petra Jaya, di sini.