Singapura: Max Verstappen memenangi perlumbaan pecut Litar Singapura yang basah dan mencabar bagi pasukan Red Bull, hari ini selepas George Russell terbabit dalam kemalangan ketika mendahului saingan di penghujung pusingan pembukaan.

Verstappen berjaya menahan asakan pelumba Ferrari, Lewis Hamilton untuk menang dengan kelebihan 2.50 saat, manakala Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas dua jentera McLaren kendalian Lando Norris dan Oscar Piastri bergesel lalu berpusing pada pusingan terakhir semasa berada di kedudukan keempat dan kelima.

Hujan lebat yang turun 10 minit sebelum masa permulaan asal menyebabkan perlumbaan ditangguhkan selama 30 minit.

Semua jentera memulakan perlumbaan dengan tayar pertengahan memandangkan beberapa sektor di Litar Jalan Raya Marina Bay adalah jauh lebih kering berbanding bahagian lain ketika semua pelumba melengkapkan dua pusingan formasi di belakang kereta keselamatan.