Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti semula dakwaan rasuah berjumlah RM350,000 yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan suruhanjaya itu, yang tular, baru-baru ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, isu berkenaan pernah disiasat pada 2018, namun kes itu ditutup selepas tiada sebarang kesalahan berjaya dibuktikan.

Bagaimanapun, susulan gesaan serta penularan semula isu terbabit, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengarahkan supaya pasukan khas berkenaan ditubuhkan dengan kadar segera.

"Langkah itu diambil bagi memastikan integriti SPRM terus terpelihara selain mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan," katanya.