Kuala Lumpur: Kerajaan Sabah digesa memberikan penjelasan berhubung isu penggunaan jet peribadi oleh pegawai kanan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) pada Ogos 2024 yang mana perjalanan itu didakwa menelan belanja kira-kira RM400,000.

Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong, susulan foto tular memaparkan beberapa individu bersama bagasi di sebelah jet peribadi yang mencetuskan kontroversi membabitkan SMM yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri.

Desakan sama juga pernah dibuat ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, supaya kerajaan negeri menjelaskan secara terperinci kepada rakyat bagaimana perjalanan itu diatur, pihak yang menanggung kos serta pematuhan terhadap prosedur dan kelulusan dalaman.