Kuala Lumpur : Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperluas ruang sokongan kewangan buat usahawan Bumiputera menerusi pengenalan tiga produk baharu di bawah skim Prosper Grow tahun ini.
Tiga produk berkenaan iaitu Prosper Grow Biz Express, Prosper Grow Fuel Up, dan Prosper Grow Auto Biz diperkenalkan bagi membolehkan usahawan pelbagai peringkat mengakses pembiayaan perniagaan secara lebih komprehensif.
Inisiatif berkenaan seiring dengan kenaikan dana pembiayaan PUNB kepada RM500 juta menerusi Belanjawan 2027, berbanding RM350 juta yang diperuntukkan sebelum ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, pertambahan peruntukan berkenaan menterjemahkan keyakinan kerajaan terhadap rekod serta peranan agensi itu dalam melonjakkan daya saing perniagaan Bumiputera.









