Kuala Lumpur: Status pengoperasian sekolah akan ditentukan berdasarkan pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setiap hari, susulan situasi jerebu yang masih berterusan di negara ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, Pengarah Pendidikan Negeri (PPN) diarahkan menubuhkan Jawatankuasa Petugas Pemantau Jerebu membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Jawatankuasa itu akan memantau indeks IPU jerebu mengikut ketetapan masa pada setiap hari.

"Berdasarkan maklumat dan data oleh jawatankuasa berkenaan, PPN memutuskan sama ada sekolah beroperasi seperti biasa atau melaksanakan kaedah Belajar Dari Rumah (BDR) menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya pada hari ini.