KUALA LUMPUR: Jaminan pembiayaan melebihi 100 peratus menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di bawah Belanjawan 2027 dapat membantu golongan muda memiliki rumah pertama, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata, jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus itu turut meliputi kos pengubahsuaian serta pembelian kelengkapan rumah seperti penyaman udara dan perabot.
"Ini memang satu inisiatif yang sangat bermanfaat, terutamanya kepada pemuda-pemudi yang ingin mendirikan rumah tangga," katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa pembentangan belanjawan itu mengumumkan kerajaan akan menambah RM20 bilion kepada dana jaminan SJKP, yang dijangka membantu 80,000 lagi pembeli rumah pertama pada tahun depan.








