MADRID: Aksi LaLiga antara Rayo Vallecano dan Athletic Bilbao dibatalkan selepas penyokong tuan rumah melontar kapal terbang kertas dan guli getah ke dalam padang sebagai bantahan terhadap pemilik kelab Madrid itu pada pertengahan separuh masa pertama.

Perlawanan terbabit adalah aksi pertama dimainkan di Estadio de Vallecas musim ini, yang ditutup sementara sebelum ini selepas satu audit mendapati wujud masalah keselamatan yang serius.

Penyokong Rayo menyalahkan kecuaian pemilik kelab, Raul Martin Presa yang sebaliknya menuduh pihak berkuasa tempatan sengaja menyasarkan kelabnya.

Kumpulan penyokong Persatuan Sukan Rayo Vallecano dalam satu kenyataan selepas penggantungan perlawanan menyatakan bahawa bantahan mereka adalah 'sah dan demokratik..perlu serta aman' sambil menambah ia adalah 'akibat meletakkan keselamatan dan kesihatan 15,000 orang dalam risiko pada setiap dua minggu selama tiga dekad.'