KUALA LUMPUR: Langkah pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di Terbuka Artik berakhir di separuh akhir selepas tewas kepada wakil Denmark, Anders Antonsen, sebentar tadi.
Pemain profesional yang menghuni tangga ke-56 dunia itu yang mencipta kejutan sepanjang saingan di Vantaa Energia Areena gagal meneruskan momentum apabila tunduk 11-21, 21-15, 16-21.
Kekalahan kepada pemain keenam dunia itu bagaimanapun tidak menjejaskan pencapaian Zii Jia yang berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan Super 500 buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
Lebih manis, pemain kelahiran Alor Setar itu turut mencipta kejutan besar pada suku akhir apabila menewaskan pemain nombor dua dunia dari Perancis, Christo Popov, dalam aksi dua set.






