SETIU: Pertemuan singkat di stesen bas di Bandar Permaisuri, di sini tengah hari tadi menjadi kenangan terakhir buat Rosmawati Mamat, 51, bersama sepupunya Zawiah Halias yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan.
Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang di Kilometer 48 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Selamat, di sini, dua peniaga iaitu Zawiah, 41, dan rakannya, Nur Fauziah Ismail, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Nahas berlaku selepas Proton Waja dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan empat lagi kenderaan lain di laluan berkenaan.
Rosmawati berkata, beliau sempat bertegur sapa dengan Allahyarham Zawiah ketika mereka kebetulan bertemu di lokasi berkenaan.








