SUNGAI BULOH: Dua filem seram, Khadam dan Malam Terlarang, mendominasi pencalonan Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 apabila masing-masing bersaing dalam 12 kategori, sekali gus mencetuskan persaingan sengit merebut trofi pada malam kemuncak anugerah berprestij itu.

Malam Terlarang, terbitan Astro Shaw dan Infinitus Productions, tercalon dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Harapan Terbaik menerusi Allahyarham Nurhanisham Muhammad atau Labu, Pelakon Wanita Terbaik (Shasha Abedul), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Datin Sofia Jane) dan Pelakon Wanita Harapan (Aila Azizul).

Filem itu turut bersaing dalam kategori Penyunting Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik, Rekaan Kostum/Busana Terbaik, Poster Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik.