KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 tahanan warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal mereka sejak Januari tahun ini menerusi laluan udara dan laut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, penghantaran pulang tahanan berkenaan dilaksanakan hasil rundingan dan ikhtiar secara langsung antara Kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Myanmar.
“Daripada jumlah itu, sebahagiannya dibawa pulang menggunakan pesawat atas inisiatif Kerajaan Myanmar sendiri, manakala baki kira-kira 1,400 orang lagi dihantar pulang menerusi kapal tentera laut negara berkenaan baru-baru ini,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai langkah kerajaan seterusnya dalam menangani isu keberadaan warga Myanmar termasuk pelarian dan pemohon suaka khususnya etnik Rohingya di negara ini.









