JAKARTA: Indonesia mengesahkan perbincangan dengan Malaysia sedang berjalan bagi memperincikan kerjasama terbaik bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu rentas sempadan.

Ketua Badan Komunikasi Indonesia, Syahganda Nainggolan, berkata hubungan baik antara kedua-dua negara menjadi asas penting dalam usaha mencari penyelesaian bersama, khususnya ketika operasi pemadaman berdepan cabaran termasuk faktor semula jadi.

"Menteri Luar Malaysia bersama Menteri Luar Indonesia sedang memperincikan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian dan menangani kebakaran hutan dan tanah ini secara bersama," katanya kepada media hari ini.

Syahganda berkata demikian ketika menjawab pertanyaan berhubung kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesediaan Malaysia membantu Indonesia serta cadangan mengadakan mesyuarat menteri alam sekitar serantau bagi menyelaras usaha menangani jerebu rentas sempadan.