Johor Bahru: Kerajaan Johor memutuskan untuk melanjutkan tempoh penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri itu, selama lima hari bermula Isnin ini hingga Jumaat depan, susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Johor, terutamanya murid-murid serta warga pendidikan.

"Setelah mengambil kira pelbagai faktor serta meneliti perkembangan semasa pencemaran udara akibat jerebu yang masih melanda negeri ini, Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk melanjutkan tempoh penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri selama lima hari, bermula 12 Oktober hingga 16 Oktober," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.