RAMALLAH: Presiden Mahmoud Abbas mengeluarkan satu dekri hari ini menetapkan pilihan raya presiden dan badan perundangan diadakan secara serentak pada 11 September 2027, sekali gus membatalkan dekri terdahulu yang menetapkan pilihan raya badan perundangan pada 28 November depan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Maklumat Palestin (WAFA).

Dekri baharu itu menyeru rakyat Palestin di Baitulmuqaddis, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya bebas dan langsung bagi memilih Presiden Negara Palestin serta Ahli Majlis Badan Perundangan Palestin secara serentak, mengikut undang-undang.

Dekri itu menyusuli keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan perundingan dengan puak serta pihak berkaitan politik Palestin, yang mencapai konsensus nasional berhubung halangan akibat tindakan Israel untuk menganjurkan pilihan raya pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini, selain keperluan mewujudkan keadaan politik, keselamatan dan lapangan yang sesuai bagi pilihan raya yang bebas, adil serta terangkum.