PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Anwar berkata, beliau terus ke KLIA selepas selesai membentangkan Belanjawan Madani Kelima bagi menyambut ketibaan pemimpin Mesir itu yang mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut beliau, Malaysia dan Mesir dijadual mengadakan mesyuarat dua hala esok bagi menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Insya-Allah, esok kami akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi menilai kemajuan kerjasama serta bertukar pandangan terkait isu serantau dan antarabangsa, selain menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman antara Malaysia dan Mesir,” katanya menerusi satu hantaran hari ini.









