PETALING JAYA – EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah bekerjasama dengan sebuah syarikat sistem bahan api terbesar di Bursa Saham Beijing, Hebei Shichang Auto Parts Co Ltd (Hebei Shichang) untuk projek membangunkan kemudahan pembuatan baharu yang memfokuskan pengeluaran tangki bahan api termaju untuk Proton.

Projek tersebut dijangka melibatkan pelaburan sehingga RM100 juta.

Usaha sama ini akan menyokong inisiatif pengembangan Proton dan menyumbang kepada pembangunan rantaian bekalan komponen yang mempunyai tahap penyetempatan yang tinggi di Malaysia, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk menjadi hab serantau terkemuka bagi pengeluaran dan eksport automotif.

Susulan pemeteraian perjanjian antara EPMB dengan Hebei Shichang hari ini, EP Shichang Automotive Systems Sdn Bhd akan ditubuhkan untuk melaksanakan usaha sama tersebut, dengan pegangan saham sebanyak 51 peratus dimiliki oleh EPMB dan 49 peratus oleh Hebei Shichang.