KUALA LUMPUR: Syarikat usaha sama Dialog Group Bhd yang dimiliki secara tidak langsung sebanyak 50.01 peratus, Pan Orient Energy (Siam) Ltd (POES) memperoleh hak konsesi dan hak pengendalian bagi blok cari gali L8/66 di darat Thailand, dengan komitmen kerja minimum sebanyak AS$14.3 juta.
Menurut Dialog, kerajaan Thailand memaklumkan kepada POES mengenai pemberian hak itu pada 5 Oktober 2026 susulan bidaan bersama CanAsia Energy Corp dalam Pusingan Bidaan Darat Thailand ke-25.
Sehubungan itu, POES akan menjadi operator dan memegang 70 peratus kepentingan penyertaan manakala CanAsia akan memegang baki 30 peratus kepentingan penyertaan bukan operator.
"Konsesi L8/66 tertakluk antara lain terhadap pemuktamadan dan pelaksanaan perjanjian konsesi serta memenuhi semua syarat terdahulu yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi itu," menurut Dialog dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.









