Kuala Lumpur: Sindiket pemalsuan dokumen perjalanan antarabangsa yang dipercayai didalangi beberapa individu warga Pakistan tumpas selepas lima individu ditahan dalam dua serbuan di Setapak, di sini, hari ini.
Operasi menerusi OPS SERKAP oleh Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) pada kira-kira 6.30 pagi itu dijalankan hasil risikan selama tiga bulan terhadap kegiatan sindiket berkenaan.
Pengarah Imigresen Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, sindiket itu disyaki terbabit dalam kegiatan pemalsuan dan pengubahan dokumen perjalanan antarabangsa bagi mendapatkan kelulusan pemeriksaan kesihatan pekerja asing menerusi Foreign Workers Medical Examination Monitoring Agency (FOMEMA).








