Kuala Lumpur: Pengenalan kadar gaji permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan elaun atau syarat pekerjaan sedia ada, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kategori pekerjaan, liputan majikan, tarikh kuat kuasa dan mekanisme pelaksanaan kadar itu perlu diperjelas bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati golongan pekerja.
"Penguatkuasaan hendaklah memastikan manfaat kenaikan gaji asas tidak dihakis melalui pengurangan elaun atau perubahan syarat pekerjaan yang merugikan pekerja," katanya dalam kenyataan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan gaji minimum sebanyak RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerjaan separa mahir sebagai permulaan menerusi pembaharuan kerangka pendapatan pekerja.








