KUALA LUMPUR: Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, akan mengadakan Lawatan Negara selama dua hari ke Malaysia bermula hari ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa El-Sisi akan diiringi menteri-menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan Mesir dalam Lawatan Negara sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden pada Jun 2014.
"Malaysia dan Mesir telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1959. Kedua-dua negara terus mengekalkan hubungan mesra dan akrab menerusi kerjasama yang kukuh di peringkat dua hala serta pelbagai hala.
"Lawatan negara Presiden El-Sisi dijangka memperkukuh lagi perkongsian yang telah lama terjalin dan kian berkembang antara kedua-dua negara menerusi peningkatan tahap hubungan kepada Perkongsian Strategik," menurut kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.






