KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memaklumkan proses penentuan aset sudah mencapai atau melepasi jangka hayat asal tidak dibuat berdasarkan usia aset itu semata-mata.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia sebaliknya turut mengambil kira penilaian bagi keperluan operasi, keadaan teknikal, tahap keselamatan, keusangan teknologi, kos kitar hayat, kebolehsenggaraan dan ketersediaan aset pengganti.

Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga memiliki Dasar Kasting ATM bagi menentukan jangka hayat aset, selain menggunakan beberapa mekanisme utama bagi aset mencapai atau melepasi jangka hayat.

Mekanisme itu, katanya, membabitkan perlanjutan hayat perkhidmatan (SLEP), penggantian aset baharu atau penamatan perkhidmatan.