PETALING JAYA: Jerebu bukan sekadar mengancam sistem pernafasan, malah boleh menyerang mata secara langsung sehingga menyebabkan keradangan, mata kering, kerosakan kornea dan dalam kes tertentu menjejaskan penglihatan.
Pakar Perunding Oftalmologi Columbia Asia Hospital Klang, Dr. S. Siva Kumar berkata, mata antara organ paling terdedah kepada pencemaran udara kerana permukaannya berhubung secara langsung dengan persekitaran.
Beliau berkata, peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ke paras tidak sihat menyebabkan mata terdedah kepada pelbagai bahan pencemar termasuk zarah halus, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon dan sebatian organik toksik.
Katanya, bahan pencemar itu boleh berasal daripada kebakaran hutan, pembakaran terbuka, pelepasan kenderaan dan aktiviti perindustrian sebelum terperangkap dalam udara, khususnya ketika keadaan atmosfera tidak bergerak.









