KUALA LUMPUR: Sindiket dadah antarabangsa dipercayai mula menggunakan pelbagai modus operandi baharu termasuk jet peribadi bagi menyeludup dadah susulan kawalan ketat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perubahan taktik itu dikesan apabila pihak berkuasa memperketatkan kawalan dan pemantauan di KLIA.

“Mereka mula mengubah taktik lain dengan menggunakan lapangan terbang yang kecil sebagai transit dan terbaru sindiket menggunakan jet peribadi,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Polis Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Hussein berkata, pemeriksaan lanjut mendapati syarikat perkhidmatan penerbangan persendirian beroperasi dari Subang itu baru mendapat kelulusan untuk beroperasi pada Julai lalu dan ditubuhkan oleh empat juruterbang, masing-masing dua warga Malaysia dan dua warga Singapura.