PETALING JAYA: Penentuan sama ada aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah mencapai atau melepasi jangka hayatnya tidak dibuat berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira keperluan operasi dan tahap keselamatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penilaian itu merangkumi teknikal, keusangan teknologi, kos kitar hayat, kebolehsenggaraan dan ketersediaan aset pengganti.
Katanya, ATM memiliki Dasar Kasting ATM bagi menentukan jangka hayat aset, selain menggunakan mekanisme perlanjutan hayat perkhidmatan (SLEP), penggantian aset baharu atau penamatan perkhidmatan bagi aset yang mencapai atau melepasi jangka hayat.
“SLEP akan dipertimbangkan jika aset masih relevan, memiliki nilai operasi, boleh dipulihkan atau dinaik taraf dengan selamat serta kos perlanjutannya munasabah berbanding perolehan aset baharu.










