KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu susulan kandungan disyaki menghina agama Islam, yang dimuat naik menerusi Facebook.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan kandungan itu dibuat berkait penggunaan perkataan lighad, yang merujuk kepada ayat 18 Surah al-Hashr, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

"Kandungan tersebut didakwa mempersenda ayat suci al-Quran, hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MCMC memaklumkan pihaknya merakam percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan, serta menyita satu unit telefon bimbit dan e-sim untuk tujuan pemeriksaan forensik.