JOHOR BAHRU: Penutupan sekolah agama di Johor dilanjutkan lima hari lagi bermula Isnin ini hingga Jumaat depan, berikutan keadaan jerebu masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, lanjutan itu membabitkan Sekolah Agama Kerajaan Johor, Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, serta Institusi Pengajian Islam Swasta (IPIS) yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Keputusan dibuat susulan pengumuman lanjutan penutupan sesi persekolahan di seluruh Johor oleh EXCO Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali.
Beliau berkata, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu diteruskan sepanjang tempoh penutupan itu mengikut arahan dan ketetapan JAINJ serta pihak berkuasa pendidikan berkaitan.









