BANDAR PERMAISURI: Dua wanita maut selepas kereta Proton Waja yang dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 48, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Kampung Selamat, di sini petang tadi.
Mangsa adalah pemandu kereta, Nur Fauziah Ismail, 38, seorang peniaga dari Kampung Apek, di sini serta penumpang hadapan Zawiah Halias, 41, peniaga dari Kampung Hulu Kekabu, di sini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira 4 petang, manakala kejadian dipercayai berlaku pada 3.45 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Proton Waja yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu, dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler Mercedes-Benz dari arah bertentangan.








