PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan fiskal yang berhemah dalam Belanjawan 2027 supaya dapat mengembalikan hasil kepada rakyat bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya golongan berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata penjimatan hasil daripada penambahbaikan tadbir urus dan usaha membendung ketirisan akan disalurkan semula kepada rakyat selaras dengan keperluan memperkukuh kedudukan kewangan negara tanpa menjejaskan bantuan kepada kumpulan yang memerlukan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun kadar inflasi Malaysia sekitar dua peratus, iaitu antara yang terendah di dunia, tekanan kos sara hidup masih dirasai rakyat berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tertentu.






