BALING: Orang ramai digesa menangguhkan sebarang aktiviti mandi-manda dan perkhemahan di kawasan berisiko seperti air terjun serta lata susulan ancaman fenomena kepala air dan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan berisiko tinggi dan sentiasa peka terhadap perubahan keadaan cuaca harian.
Katanya, peringatan itu susulan dua rakaman video dan gambar kejadian kepala air berlaku di Lata Bayu, di sini tular di media sosial hari ini.
Berdasarkan video berdurasi 26 saat dan 12 saat, kepala air itu berlaku sehingga menyebabkan air deras turun dari kawasan bukit peranginan di situ.








