PUTRAJAYA: Belanjawan MADANI 2027 dirangka bagi menjamin keselesaan hidup dan keadilan sosial untuk semua lapisan rakyat menerusi pendekatan pembangunan yang mengambil kira keperluan setiap kelompok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan tidak hanya memberi tumpuan kepada angka besar dan sektor strategik sebaliknya turut meneliti keperluan harian rakyat termasuk pemilik haiwan peliharaan, Orang Kurang Upaya (OKU), pekerja gig serta penghantar makanan dan barangan.
"Dalam apa pun perancangan, akhirnya adalah (bagi) menjamin keselesaan hidup rakyat... kita mahu satu sistem yang dapat menjamin keadaan yang selesa dan adil buat semua," katanya dalam Wawancara Khas Belanjawan MADANI 2027, yang disiarkan di RTM hari ini.






