Bergamo: Pelumba yang bersaing dalam perlumbaan berbasikal Il Lombardia melancarkan protes selama lima minit bagi menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan susulan beberapa insiden membabitkan kenderaan di laluan perlumbaan.

Aksi itu menyaksikan peloton kekal tidak bergerak walaupun kiraan detik pelepasan selesai, sekali gus mencetuskan kekeliruan sebelum pelumba Belgium, Remco Evenepoel, tampil menjelaskan tujuan protes berkenaan kepada orang ramai.

Evenepoel berkata, terlalu banyak insiden membabitkan kenderaan berlaku ketika perlumbaan sehingga mengancam keselamatan pelumba profesional.

"Malangnya, kita kehilangan seorang saudara dan rakan seperjuangan. Kami mahu menyampaikan mesej kepada dunia bahawa kita tidak boleh terus menerima hakikat pelumba cedera atau kehilangan nyawa ketika melakukan perkara yang paling kita gemari," katanya.