KUALA LUMPUR: Aksi suku akhir kedua Piala FA antara Kuala Lumpur (KL) City dan DPMM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok bukan sekadar perebutan tiket ke separuh akhir.

Malah, ia akan menentukan pasukan mana yang lebih layak untuk berdepan 'raja' bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) di peringkat empat terbaik saingan itu.

JDT yang juga juara bertahan sejak 2022 sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir, kelmarin selepas menyingkirkan Penang menerusi agregat 11-3 dan sedang menanti pemenang aksi antara KL City dan DPMM.

Jika berdasarkan prestasi sebelum ini, pertembungan antara KL City dan DPMM dijangka sengit dengan kedua-dua pasukan itu terikat 3-3 secara agregat hasil daripada keputusan aksi pertama, 20 September lalu.