KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan memastikan limpahan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati rakyat menerusi Belanjawan 2027, khususnya dalam menangani kos sara hidup serta meningkatkan kualiti penggajian dan pekerjaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkembangan ekonomi negara menunjukkan momentum positif hasil usaha yang dilaksanakan kerajaan menerusi Kerangka Ekonomi Madani sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus pada suku kedua tahun ini, kadar pengangguran sekitar tiga peratus dan inflasi 1.9 peratus antara petunjuk perkembangan ekonomi negara.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian menerusi angka ekonomi semata-mata tidak memadai sekiranya manfaatnya tidak diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.