KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan diminta mendapatkan maklum balas syarikat swasta berhubung kemungkinan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) susulan keadaan jerebu luar biasa ketika ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan bagi meneliti kemampuan syarikat swasta melaksanakan dasar berkenaan, termasuk kekangan yang mungkin dihadapi.

Beliau berkata, kerajaan mahu mendapatkan gambaran jelas daripada sektor swasta mengenai kebolehlaksanaan BDR ketika beberapa sekolah ditutup berikutan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.