BATU PAHAT: "Sehari sebelum kemalangan, arwah beria-ia minta belikan blaus putih. Saya pelik kerana arwah jarang pakai warna itu," kata Hamidah Sulaiman, 66.
Hamidah adalah ibu kepada Siti Nur Batrisya Mohd Khalid, 22, yang maut bersama sepupunya, Siti Nurmaisarah Abd Jalil, 22, selepas kereta dinaiki mereka terbakar susulan kemalangan dengan sebuah lori.
Nahas berlaku 4.15 petang ketika dua bersaudara itu dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah premis menjual kad SIM telefon tidak jauh dari pekan Yong Peng.
Hamidah berkata, hatinya seolah-olah dapat merasakan sesuatu berlaku apabila penjejak lokasi telefon anak dan anak saudaranya terhenti, selain mendapati mereka tidak muncul dalam siaran langsung di TikTok seperti dirancang.








