KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, yang kini dalam lawatan negara dua hari ke Malaysia.
El-Sisi dianugerahkan darjah kebesaran itu di Istana Negara dalam istiadat khas di Dewan Seri Maharaja sebelum Majlis Jamuan Negara sempena meraikan pemimpin Mesir itu yang tiba di negara ini semalam.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta tetamu kehormat dan delegasi Mesir.
Terdahulu, El-Sisi diberikan sambutan negara di Dataran Kawad Istana Negara sejurus tiba pada 10.08 pagi.








