KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli berdepan tugas sukar untuk mencabar kelompok hadapan pada Grand Prix (GP) Indonesia selepas mencatat masa ke-18 terpantas pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Mandalika, hari ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu bakal memulakan perlumbaan dari barisan keenam esok selepas gagal memanfaatkan peluang pada sesi Kelayakan 2 (Q2) untuk memperbaiki kedudukan di petak permulaan.
Hakim Danish terpaksa mengharungi sesi Kelayakan 1 (Q1) hari ini selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok 14 pelumba terpantas pada sesi latihan, semalam.
Bagaimanapun, pelumba berusia 18 tahun itu menunjukkan aksi meyakinkan pada Q1 apabila mencatat masa kedua terpantas, 1 minit 37.980 saat (s), sekali gus mengesahkan slot ke Q2.








